Wednesday, January 26, 2011

Doa

doa
Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina (Ghafir, 40:60)
Doa adalah sangat dituntut sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.: Ibadat yang paling utama adalah berdoa. (R. Haakim Ibnu Abi Sa’d)

Saudara dan saudari sekalian, saya masih ingat lagi pengajaran yang ustazah saya (ustazah Fauziah Jani) beri sewaktu saya di tingkatan lima. Contohnya sangat mudah, dan ingin sekali saya berkongsi dengan anda semua agar dapat kita sama-sama lebih memahami konsep doa.
Biar saya gambarkan betapa pentingnya doa.

Situasi 1:

Allah telah menetapkan bahawa A akan mati pada sekian tarikh, sekian masa dan waktu. Matinya dalam keadaan tertonggeng dalam bahasa kasarnya. Disebabkan A tidak pernah berdoa, dia mati tertonggeng mukanya menyembam tanah, malah lebih malang, masuk pula ke dalam longkang yang busuk. Sayang, seribu kali sayang, si A mati dalam keadaan kufur lagi hina. Sudahlah tertonggeng, masuk pula ke dalam longkang yang dipenuhi najis. Sungguh hina.

Mari kita bandingkan pula sekiranya si A sentiasa berdoa.

Situasi 2:

Allah telah menetapkan bahawa A akan mati pada sekian tarikh, sekian masa dan waktu. Matinya dalam keadaan tertonggeng dalam bahasa kasarnya. Tapi disebabkan kesan doa yang A pohon sejak sekian lama, dan Allah berkenan untuk mengangkat darjat A, (kerana Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Memperkenankan) lalu Allah menyuruh Izrail mencabut nyawanya dalam keadaan tertonggeng tetapi ketika menyembah yang Maha Esa. Lihat, A masih mati dalam keadaan tertonggeng, tetapi dalam keadaan yang sangat mulia, bersujud kepada Allah Wazajalla. Beruntunglah orang-orang yang beriman.

Saudara saudari sekalian, dua situasi ini boleh kita pilih yang mana kita berkenan untuk dijadikan pengakhiran ‘novel’ hidup kita. Itu adalah tujuan Allah beri kita aqal, mencari petunjuk, taufik dan hidayah agar kita berfikir tujuan hidup didunia ini bukan semata-mata untuk berhibur. Ada kehidupan yang lebih penting, lebih kekal selepas kita dihidupkan kembali. Berdoalah dari saat anda membaca coretan ini agar di golongkan dikalangan orang-orang yang beriman.Insya Allah.

A056
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya
Oleh yang demikian pembaca sekalian, dengan coretan yang sedikit ini, harapan saya adalah agar anda mendapat sedikit ilmu yang ustazah saya sampaikan untuk dijadikan pedoman dan iktibar. Wallahualam.

Daripada Abdullah Bin ‘Amr r.a., sesungguhnya Nabi S.A.W. bersabda: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ‘ayat dan ceritakanlah daripada Bani Israil. Tiada sebarang kesempitan dan dosa”.

(Riwayat al-Bukhari)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...