Showing posts with label memilih. Show all posts
Showing posts with label memilih. Show all posts

Friday, March 18, 2011

Itu lee... Memilih sangat...

" Takde boyfriend ke? Teman Istimewa ke? Yang berkenan dihati ke...?"

" Em, belum jumpe lagi kot..." balas aku perlahan. Selamba. 

" Ke.... Memilih sangat..?"

.................

Aku bungkam. 

Sebenarnya banyak yang ingin aku hujahkan tapi tak ingin dilihat seperti 'tunjuk pandai' atau dikatakan 'menegakkan benang yang basah'. Jadi, disinilah platform untuk aku menerangkan kenapa perlunya memilih dalam soal mencari jodoh.

“ Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda : Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri-ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya, kerana pegangan agamanya. Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung). 


( Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.)


Sesungguhnya perkahwinan itu merupakan suatu fitrah semulajadi dalam kehidupan manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan hidup bersama untuk memperolehi kasih sayang, ingin menjalinkan cinta yang berterusan dan ketenangan dalam hati. Namun bagi sesebuah rumahtangga muslim yang bahagia itu ianya bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam hadith di atas.

Bagi mereka yang merancang ingin mendirikan rumahtangga muslim yang bahagia, aspek pemilihan jodoh yang tepat adalah sangat penting. Ini kerana, perkongsian hidup yang lahir nanti akan menentukan nasib sesudah berumahtangga dan menentukan corak hidup dalam masyarakat sama ada mendapat keredhaan Allah SWT atau sebaliknya. Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah SWT. Apa gunanya hidup kita, sekiranya kehidupan selepas berumahtangga menjadikan diri kita lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah atau suami yang soleh itu? Hikmahnya ialah dengan mempunyai nilai keagamaan itulah seseorang itu dapat memiliki akhlak yang baik, menjadi contoh tauladan kepada anak-anak dan saling bantu membantu dalam rangka untuk membina rumahtangga yang diredhai Allah SWT. Alangkah bahagianya pasangan suami isteri apabila kehidupan alam rumahtangganya sentiasa mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT. 


Sebenarnya kebahagiaan rumahtangga yang bahagia itu telah jelas ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam sendiri. Segala-galanya bermula dengan niat yang ikhlas sebelum mendirikan rumahtangga iaitu membina rumahtangga itu adalah semata-mata ingin mencari keredhaan Allah SWT, bukan disebabkan faktor atau dorongan yang lain.


Sekufu di sisi Islam adalah sekiranya pasangan suami isteri mempunyai kefahaman Islam dan matlamat hidup yang jelas, tahu akan tanggangujawab masing-masing bahawa membina rumahtangga muslim itu adalah suatu ibadah, saling merindui rumahtangga yang dirahmati dan diberkati Allah SWT, suami isteri yang saling nasihat menasihati antara satu sama lain dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah SWT, cuba mewujudkan suasana rumahtangga yang harmoni, suami yang memberikan didikan agama kepada isteri dan ingatlah isteri yang solehah boleh membawa suami ke syurga.

Hell or Heaven
Kita punyai pilihan untuk memilih, oleh yang demikian, untuk membentuk masyarakat yang bertauladan, inilah langkah pertama yang perlu dititik beratkan. 

Walaubagaimanapun, kita ini sebagai hamba, haruslah berusaha merancang, namun Allah jualah yang menentukan. Saya percaya yang perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan sebaliknya. Tersebut kisahnya dalam Al-Quran:
A026
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. Surah An-Nuur (24:26)

Wallahu'alam..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...